Friday, October 30, 2009

Ku Terima Seadanya 8

“Hisy…susah betullah. Masa cuti, aku rindukan korang. Bila dah naik cuti ni, rasa malas pula. Kalau tak kerana ada hal, hujung minggu depan baru aku balik sini, tau.“rungut Fifi di hadapan Yusliza sambil mengemas barang. Yusliza yang juga sedang mengemas barang hanya tersenyum.
“Ala…tinggal dua semester ni aje. Lepas tu, kau merdekalah. Kau nak apa, nak kerja,nak kahwin...suka hati kau. Tapi yang penting, kena buat betul-betul la. Kalau tidak, kau tambahlah lagi setahun duduk sini.“balas Yusliza. Tersenyum dia melihat Fifi yang terduduk lesu di hadapan almarinya. Mood malas agaknya. Kalau diperhatikan, masih banyak lagi barangannya yang belum dikemaskan.
“Hisy kau ni...ke situ pula. Lambat lagilah aku nak kahwin! Boyfriend pun tak ada.“gerutu Fifi. Yusliza tersenyum kecil
Suasana sepi seketika. Masing-masing buat hal sendiri. Fifi bersuara tiba-tiba. “Agak-agak lepas tamat pengajian kita kat sini, kita jumpa lagi,tak? Mana tahu, sibuk dengan hal masing-masing sampai terlupa.”
Yusliza memandang Fifi. “Insya-ALLAH,kalau ada jodoh kita jumpa lagi. Tapi kalau sampai terlupa tu, takkanlah. Melainkan kau masuk hospital mental. Yang tu memang ada kemungkinan besar kau lupa pada kami.“Yusliza tergelak besar dengan kenyataannya sendiri.
Fifi menghampiri Yusliza.Disekehnya kepala gadis itu. Terjerit-jerit Yusliza dibuatnya. “Suka-suka aje kau kata aku masuk hospital gila. Kau tu,entah-entah kahwin pun tak ajak aku.“gurau Fifi. Yusliza terkesima. Kahwin? Ah,cepat betul masa berlalu. Harap-harap biar aku lambat dapat kerja. Biar lambat sikit aku disatukan dengan mamat bongkak tu!. Eh,tapi kalau aku lambat dapat kerja,takkan nak tanam anggur di rumah? Uwaa... macam mana ni....
“Hoi,yang kau termenung tu kenapa! Tu, Faizal Tahir dah melalak.“ sergah Fifi. Yusliza menoleh ke arah telefon bimbitnya yang sedang memainkan lagu Cuba nyanyian Faizal Tahir.
“Fifi,tolong angkat. Aku nak tukar baju kejap.“arah Yusliza
Fifi menjawab panggilan tersebut. Kecoh mulutnya memarahi Zaidi dan Hakim kerana memanggilnya Donald Duck. Bingit telinga. Pasti cair tahi telinga dua jejaka itu mendengarnya. Apatah lagi Fifi membalas dengan bermacam-macam gelaran kepada Zaidi dan Hakim.
“Korang nak apa ni?“tanya Fifi kuat. Yusliza tidak mampu berkata apa. Dia sudah biasa.
“Okey,pukul 1.00 nanti tunggu kat kafe.” Fifi mematikan talian. Telefon bimbit diletakkan semula ke atas meja Yusliza. Dia bangkit kembali menyimpan semua pakaiannya ke dalam almari.
“Adi dan Hakim ajak lunch sama-sama di kafe. Pukul 1.00 nanti. Anisa pun ada sama.”jelas Fifi. Yusliza hanya mengangguk setuju. Sudah lama juga dia tidak bertemu dengan Anisa.


Badrul termenung di halaman rumah. Memikirkan keadaan dirinya. Baru sebentar tadi dia dimarahi oleh Hajah Rozi. Semuanya kerana Yusliza. Argh...tak telefon dia pun, aku kena marah. Sayang betul emak pada gadis itu. Bisiknya sendiri.
“Apa yang Abang Bad fikirkan?“tegur Bahari, adik bongsunya lalu duduk di sebelah Badrul.
“Tak fikir apa-apa. Saja termenung. Bila kau balik universiti?“soal Badrul. Adik bongsunya itu sebenarnya sebaya dengan umur tunangnya. Cuma Bahari lahir awal tujuh bulan daripada Yusliza.
“Ada seminggu lagi cuti. Hujung minggu nilah Ayie balik.“jawab Bahari. Dia mencapai surat khabar di atas meja lalu dibacanya. Badrul kembali semula kepada aktivitinya tadi.
Memikirkan Yusliza membuatkan dirinya jadi tidak menentu. Kalaulah dia tahu yang Yuslizalah budak perempuan comel yang selalu membuatnya cemburu dulu, sumpah,dia tidak akan sesekali membuat sebegitu kejam kepada gadis itu. Malah tanpa ada rasa bersalah, dia mengutuk gadis itu sesuka hati di hadapan rakan-rakannya. Kalaulah mereka tahu yang sekarang ni Yusliza sudah menjadi tunang aku,apa agaknya reaksi mereka? Terngiang-ngiang kembali perbualannya bersama-sama rakannya 5 tahun dahulu.
“Awek aku,mesti baik, sopan, bertudung, hormat keluarga, dan paling penting beriman.“Ayub bersuara. Rakan-rakannya hanya mencebik. Ayub kalau bercakap, Siap ada pergerakkan pada kaki dan tangannya. Lagak seperti seorang pakar motivasi yang sedang memberi ceramah di televisyen. Tapi...kalau dilihat dengan terperinci, si Ayub ni lagi over!
"Aku pun. Lagi satu, setia dan bertanggungjawab. Kalau boleh, aku nak dia jadi isteri,teman dan kekasih yang memahami. Ibu yang baik kepada anak-anak aku dan menantu yang menghormati dan disayangi keluarga aku.“tambah Fikri. Dia mula berangan-angan. Siapalah agaknya jodoh aku.
“Kalau aku, aku lebih suka yang cantik,pandai. Aku suka gadis yang tahu bawa diri. Senang. Lagi satu, biar bila orang tengok, mereka tahu betapa hebatnya aku berjaya memiliki seorang gadis yang menjadi idaman setiap lelaki.“megah Badrul berkata. Amirul hanya tersenyum mendengarnya. Bongkak betul dia ni.
“Yus kau nak letak mana? Dah lama dia tunggu kau.“sengaja Ayub mengusik Badrul.
“Huh,tak mahu aku. Benci betul aku dengan dia. Dahlah ada banyak panau dan jerawat. Tengok dari jauh aje, orang dah lari lintang-pukang.“Badrul mengutuk Yusliza. Beristighfar rakan-rakannya mendengar Badrul berkata begitu.
“Tak baik kau cakap macam tu. Kau menghina dia. Dia pun ada hati, ada perasaan.”ujar Ayub sambil memegang bahu rakannya,
“Betul tu. Aku nak tanya, kenapa kau benci sangat dengan dia? Apa dia dah buat pada kau? Dia ada acu pistol pada kau,suruh kau terima dia ke?“ Fikri bertanya. Badrul terdiam. Dia hanya tersenyum sinis. Iyalah,kenapa aku benci sangat pada dia?
“Kalau kau tak suka, janganlah menghina. Dia ada maruah,harga diri. Kalau kau tak suka, tak apa,ada orang lain yang akan hadir untuk menghargai dia. Kau percayalah cakap aku. Siapa tahu, mungkin dikalangan kita sendiri. Satu perkara yang kau mesti ingat. Simpan dalam kepala otak kau apa yang aku nak cakap ni. Jangan terlalu membenci seseorang kerana boleh jadi orang yang kita benci itu adalah orang yang paling kita sayang suatu masa nanti.“pesan Amirul. Badrul malas mendengarnya lagi. Dia pergi meninggalkan rakan-rakannya.
Bahari hairan melihat abangnya yang diam terpaku di kerusinya. Dia sedang berkhayal tentang sesuatu. Entah apalah yang sedang difikirkannya.
“Abang Bad...“tegur Bahari sambil menyentuh bahu Badrul. Di turut terkejut apabila Badrul tersentak dengan panggilannya tadi. “Abang Bad okey?”
Badrul mengeluh kecil. Dia memandang ke arah adiknya. “Abang okey. Abang masuk dululah. Abang belum solat Asar lagi ni.” Badrul meminta diri. Bahari hanya tersenyum mengangguk.


Suasana di kafe masih lengang. Maklumlah, masing-masing masih lagi bercuti. Mahu manfaatkan masa seminggu yang masih berbaki. Kalau tidak kerana mereka perlu menguruskan kemasukan kemasukkan junior sesi ini,pasti mereka masih di rumah sekarang ini. Tapi hendak buat macam mana. Mereka semua berjawatan dalam kolej. Orang terkenallah katakan… Hisy,perasan pula! Yusliza berbisik di dalam hati.
Zaidi, Anisa, Hakim, Fifi dan Yusliza makan bersama. Bergema suara mereka di kafe itu,lebih-lebih lagi suara si Fifi. Apatah lagi apabila Zaidi dan Hakim mengusiknya. Makin bingit telinga mendengar suara jeritannya.
Ketika Yusliza menghulurkan tisu kepada Hakim, Zaidi leka memerhatikan cincin yang tersarung pada jari manis Yusliza. Tanpa sedar, dia menangkap tangan gadis itu. Tindakan spontan dan selamba Zaidi itu membuatkan Yusliza tergamam. Segera dia meronta minta dilepaskan.
“Wei Adi,lepaslah! Suka-suka kau aje pegang anak dara orang. Tu, cik puan kat sebelah tu dah pandang lain macam aje. Macam nak tembak aku aje.“ tegur Yusliza. Zaidi hanya tersengih. Anisa disebelahnya hanya tertawa mendengar gurauan daripada Yusliza. Manalah aku ada pistol atau senapang nak tembak dia.
“Tak sengaja. Cincin apa tu Yus?“ soal Zaidi lalu melepaskan tangan gadis itu. Semua mata tertumpu ke arahnya.
Yusliza tersenyum kecil. “Cincin pertunangan aku.”balasnya.
Semua terkedu seketika. Terkejut mendengar pengakuan daripada gadis itu. Tidak berkelip mata Zaidi memandang Yusliza. “Kali ni dengan siapa pulak? Penyanyi ke pelakon? Ke...atlet lagi?“tanya Zaidi sambil menahan tawanya. “Orang mana,wei? Malaysia…Indonesia…Amerika…Singapura…”tambah Zaidi lagi. Kali ini, dia ketawa terbahak-bahak. Mereka yang lain turut mentertawakan dirinya.
Yusliza masam mencuka. Jauh di sudut hati, dia berkecil hati dengan kawan-kawannya. Sebenarnya,dia ingin memberitahu tentang status barunya dan berkongsi rahsia hati bersama mereka hari ini. Namun,mereka semua memperlekehkan kata-katanya. Malah,menganggap dia tidak serius. Memang dia akui, dia suka bergurau dengan berkata yang bukan-bukan. Tapi tidak semua kata-katanya palsu!
“Kalau korang tak nak percaya, sudahlah. Tapi jangan ketawakan aku sampai macam tu sekali.“perlahan Yusliza bersuara.
“Sudah...sudah...jom bersurai. Aku nak mengemas lagi. Malam ni ada meeting.“ujar Zaidi. Masing-masing mula bangun untuk pulang ke bilik masing-masing. Tiba-tiba,deringan telefon menghentikan langkah mereka.
Yusliza mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar jeansnya. Terpampang nombor baru di skrin. Mungkin fasal mesyuarat malam ini. Dia segera menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum.“Yusliza memberi salam. Namun, belum pun sampai satu minit panggilan itu dijawab, dia tergesa-gesa mematikan talian.
Hairan Hakim melihat tindak-tanduk gadis itu. “Siapa?” soalnya.
Yusliza hanya menggeleng dan berlalu pergi. Zaidi memandang Fifi. Memberi isyarat bertanyakan tentang Yusliza yang tiba-tiba berubah. Fifi hanya menjungkitkan bahu lalu mengejar langkah Yusliza.
“Kim, aku hantar Anis kejap. Kau naiklah dulu.“ Zaidi berkata. Hakim hanya mengangguk. Namun dia pelik melihat perubahan Yusliza. Apa yang mengganggu gadis itu secara tiba-tiba?


“Hoi!“ sergah Hakim. Yusliza mengurut dada. Terkejut dia dibuatnya. “Termenung aje. Kau fikir apa? Minggu orientasi dan habislah.“
“Entahlah.“ringkas jawapan Yusliza. Dia mengeluh perlahan.
Hakim terdengar keluhan itu. “Jangan mengeluh,berdosa.“ Hakim mengingatkan. Dia terus duduk di sebelah Yusliza. “Cepat,ajar aku.“arahnya.
Yusliza menjeling seketika ke arah Hakim yang sudah tersengih-sengih. Ewah...ini hendak minta tolong aku, atau hendak mengarah aku?
Namun apabila melihat wajah Hakim itu, marahnya tidak jadi. Dia terus menerangkan subjek perundangan tersebut kepada Hakim. Terangguk-angguk kepala lelaki itu. Cuba memahami dan mengingati apa yang dijelaskan oleh Yusliza.
“Kau faham tak? Kalau tak, aku ada tips nak bagi supaya kau faham dan ingat.“bersungguh-sungguh Yusliza berkata.
Berseri-seri wajah Hakim mendengar Yusliza berkata begitu. Mungkin, tips itu dapat membantunya. Segera dia menganggukan kepala.
“Kau ambil fail aku ni, ketuk kepala kau. Mesti kau ingat punya.“ serius Yusliza berkata. Mati senyuman Hakim.
“Hampehlah kau ni. itu nak membunuh aku namanya. Terima kasih ajelah untuk tips kau tadi.“geram Hakim bersuara. Tergelak-gelak Yusliza melihat air muka lelaki itu. Yusliza terus galak mengusik lelaki itu.
Hakim menjeling tajam ke arahnya. “Gelaklah...gelak. Ibu aku selalu cakap. Kalau banyak gelak,nanti kita menangis.“pesan Hakim. Namun, Yusliza tidak mempedulikan pesanan lelaki itu. Hakim terus mengetuk dahi Yusliza dengan buku notanya.
Yusliza terdiam. Dia memandang Hakim lalu membalas pukulan lelaki itu. Terkial-kial Hakim mengelak pukulan Yusliza yang bertubi-tubi itu.Tanpa mereka sedari, ada sepasang mata yang melihat kelakuan mereka sedari tadi.
Badrul menumbuk stereng keretanya. Hatinya baran melihat kemesraan pasangan itu.. Lagak seperti sepasang kekasih yang sedang hangat bercinta. Kalau kau sudah ada kekasih, kenapa menerima pertunangan ini? Kenapa beri aku harapan? Soalnya sendiri.
Tapi...ada ke dia bagi aku harapan? Entah-entah,aku aje yang mengharap. Dia tak ada apa-apa pun. Argh...dia tunang aku! Dia milik aku, bukan orang lain! Badrul keluar dari keretanya.
Yusliza terus memukul Hakim. Mencari ruang agar pukulannya tepat pada sasaran. Dia langsung tidak menyedari seseorang sedang mendekatinya.
“Yusliza!“ satu suara memanggilnya. Kedua-duanya menoleh ke arah suara itu.


Yusliza menangis. Hakim duduk sepi di sebelahnya. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Ingin menelefon Fifi, gadis itu menghalang. Kini, dia buntu. Segalanya berlaku selepas pertemuan gadis itu dengan lelaki tadi.
Kehadiran seorang lelaki mematikan pertelingkahan mereka. Lelaki itu kemudiannya meminta izin untuk berbicara sendirian dengan Yusliza. Tanpa ada sebarang prasangka, Hakim meninggalkan mereka berdua. Dia ingin mahu segera pulang ke biliknya. Namun, wajah mendung Yusliza mematikan niatnya itu. Sebaliknya, dia menunggu di ruang lain.
Perbualan pasangan itu nampak tenang. Tiada apa yang mencurigakan. Cuma Yusliza lebih banyak menunduk dan kurang bercakap. Beberapa minit kemudian, lelaki itu pergi. Yusliza masih duduk terpaku di kerusi itu. Segera Hakim menghampiri sahabatnya.
Terkedu Hakim tatkala melihat airmata yang mula bergenang di tubir mata Yusliza. segera dia membawa Yusliza meninggalkan tempat tersebut. Khuatir sekiranya ada yang membuat cerita yang bukan-bukan.
Kini, mereka duduk di tepi kolam ikan. Yusliza memeluk kedua-dua belah lututnya. Airmata masih terus mengalir. Tetapi tidaklah sederas tadi.
“Ikan-ikan, pergi main jauh-jauh. Hujan buatan manusia sedang turun ni…” usik Hakim. Cuba mengurangkan kesedihan di hati Yusliza.
“Kau apahal!” marah Yusliza. Orang tengah bersedih, dia perli pula.
“Tak adalah. Aku kesiankan nasib ikan tu. Datang dekat dengan kau. Nak manja-manja. Tapi kau bagi airmata pada mereka. Itu okey lagi. Buatnya kau terbagi hingus kau tu. Eee...geli aku.“Hakim menjungkit-jungkit bahunya. Yusliza menjeling. Ditamparnya bahu Hakim sekali.
“Wei,apa ni! aku bercakap apa yang benar. Kau ni... aku nak bagi warning. Jangan pukul aku lagi. Sakitlah,woi. Batal wuduk aku.“Hakim bergurau dalam marah. Kali ini, tanpa mempedulikan amaran tadi, Yusliza memukul Hakim bertalu-talu. Hingga akhirnya dia yang keletihan.
Suasana sepi seketika. Hakim menggosok-gosok lengannya. Laju nafas Yusliza setelah puas melepaskan kemarahannya pada Hakim. Kesian lelaki itu. Tidak fasal-fasal menjadi mangsanya.
“Kan betul aku cakap. Jangan banyak ketawa. Nanti kita menangis. Masin mulut aku.“ujar Hakim.
Yusliza menjeling. “Kalau macam tu, jaga pemakanan kau. Banyakkan bersenam. Nanti kena darah tinggi.“balas Yusliza. Hakim mencebik.
“Boleh aku tahu, siapa lelaki itu?“ soal Hakim tiba-tiba. Terbayang lagi lelaki tadi. Orangnya tinggi. Memiliki wajah yang menarik dan berkulit cerah. Ditambah pula dengan tubuhnya yang sasa. Ada pakej untuk menjadi lelaki idaman gadis-gadis. Berbeza pula dengan Yusliza. Gadis itu tidaklah secantik Fifi. Hanya sekadar sedap mata memandang. Namun Hakim akui,dia suka melihat mata Yusliza yang membulat itu. Comel dan seolah-olah terdapat pelbagai cerita di dalamnya. Tapi, apa kaitan mereka berdua ini? Lelaki itu…Boyfriend diakah? Soalnya sendiri.
Yusliza terdiam. Mungkin, inilah saatnya dia berkongsi cerita bersama kawan-kawannya. “Panjang ceritanya.” Yusliza menarik nafas.
“Berapa episod?”
Yusliza memandang Hakim. Berkerut dahinya mendengar soalan itu. “Episod apa?“
“Yelah,panjang cerita kau tu, berapa episod?“selamba Hakim.Yusliza geram. Melilau matanya mencari sesuatu. Akhirnya, fail disebelahnya digunakan untuk memukul Hakim. Hakim menahan serangan hanya dengan menggunakan sebelah tangan sambil ketawa.
“Okey...okey...sorry.“ Hakim meminta maaf. Yusliza menghentikan perbuatannya. Dia duduk semula menenangkan diri.
Suasana sepi kembali. Soalan Hakim tidak terjawab. Hakim mengerti. Mungkin, Yusliza belum bersedia lagi
Yusliza merenung ikan-ikan yang bergerak kesana-sini secara berkumpulan. Kenapalah korang selalu tak serius dengan apa yang aku nak cakap ni? kalau macam ni, lebih baik aku diamkan saja.

No comments: