Monday, October 4, 2010

Ku Terima Seadanya 22




Biliknya suram. Hanya lampu meja yang dinyalakan. Haruman wangian lavender yang menusuk ke rongga hidung cuba memberi ketenteraman hati dan perasaan kepadanya.
Yusliza rebah di atas tilam empuknya. Merenung siling sambil memeluk patung beruang panda yang baru diterimanya siang tadi. Fikiran Yusliza melayang mengingati kejadian yang baru saja berlaku dalam hidupnya.
Ketika dia sedang bergurau senda dengan Yusrizal, sekali lagi Haji Ismadi dan isterinya bertandang ke rumah keluarga Yusliza. Yusliza agak terkejut dengan kehadiran bakal mertuanya itu. Lebih-lebih lagi apabila bakal mertuanya itu terlihat akan pergelutan Yusliza dan adiknya. Kerana rebutkan bantal, kedua beradik itu saling berpukulan. Kadang-kadang Yusrizal menyepit kepala kakaknya di celah ketiaknya. Sesak nafas Yusliza dibuatnya. Yusliza pula membalas dengan menumbuk-numbuk tangan Yusrizal. Namun, apalah dayanya. Tubuh Yusrizal yang besar dan tegap itu sukar ditewaskan olehnya. Mereka terus bergusti lagak seperti WWF.
“Wah…ganas betul menantu abah ni.”itulah teguran yang diberi oleh Haji Ismadi. Yusliza hanya tersipu malu. Mereka terus ke meja makan menikmati makan malam bersama.
Selesai makan malam, mereka sekeluarga berkumpul di ruang tamu. Rupa-rupanya,mereka meneruskan perbincangan tentang perkahwinan Yusliza dan Badrul yang terhenti siang tadi. Yusliza diam. Setelah beberapa minit duduk di situ, Yusliza bangun lalu masuk ke bilik.
Suasana di ruang tamu tiba-tiba menjadi sepi. Masing-masing saling berpandangan. “Kau dah beritahu dia,Man?”soal Haji Ismadi.
“Tadi Syimah dah beritahu dia.”balas Encik Rahman. Puan Hasyimah mengangguk mengiakan.
“Dia cakap apa?”
“Dia tak cakap apa. Dia diam aje. Lepas tu, terus masuk bilik.“jawab Puan Hasyimah seadanya. Yusrizal yang turut ada di situ hanya diam. Tidak mahu masuk campur.
“Bang,biar Zie pergi tengok dia.“akhirnya, Hajah Rozi bersuara. Haji Rahman hanya mengangguk setuju.
Yusliza duduk di meja soleknya. Dia menangis di situ. Kedengaran bunyi ketukan di pintu. Segera dia menyeka air matanya. Yusliza menghampiri pintu lalu memulas tombol pintunya. Dia menjengah. Kelihatan Hajah Rozi di situ.
“Eh,mak.masuklah.”pelawa Yusliza ramah. Wanita itu masuk. Terpegun dia seketika melihat bilik gadis itu yang dikemas rapi. Di satu sudut kiri yang menghadap ke tingkap, terdapat meja belajar di situ. Di sudut kanan pula, satu sofa panjang yang bersebelahan dengan almari. Puan Rozi begitu tertarik dengan rak yang terdapat bersebelahan dengan katil. Terdapat banyak gambar-gambar yang disusun di situ. Gambar keluarga, kawan-kawan, gambar dia sekeluarga pun ada.
“Yus buat apa?“
“Err...Yus nak online mak. Nak chatting dengan kawan.” Yusliza tersengih penuh kepura-puraan.
“Yus,mari sini. Duduk sebelah mak.”pinta Hajah Rozi yang sudah duduk di birai katil. Yusliza hanya menurut.
“Tell me the truth. Yus marahkan kami sebab nak cepatkan tarikh perkahwinan ni?”lembut Hajah Rozi bertanya. Yusliza diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Dia hanya menunduk.
Hajah Rozi tahu,anak gadis itu terasa hati. Tapi dia perlu melakukannya. Demi anaknya, dan demi Yusliza sendiri. “Mak minta maaf. Mak dah langgar perjanjian. Tapi kami mesti mempercepatkan tarikh perkahwinan ni.“
Yusliza tersentak mendengar ungkapan maaf itu. “Kenapa, mak? Kenapa mesti awalkan? Kan dah janji dulu. Sekurang-kurangnya selepas Yus dapat kerja.“
“Mak tahu. Tapi,abah nak hantar Abang Bad ke Indonesia selama beberapa bulan untuk uruskan projek di sana. Kami perlu awalkannya.“
“Tapi mak, kan boleh buat selepas dia balik sini. Lagipun bulan Ogos nanti Yus nak konvo.“ujar Yusliza separuh merayu. Runtun hati Hajah Rozi mendengarnya.
“Yus,please... Yus kena faham. Abang Bad kat sana, Yus kat sini. Mak bimbang. Mak tak nak apa-apa berlaku. Mak tak nak, hati salah seorang daripada kamu berubah. Mak sayang Bad. Mak sayang Yus,mak nak Yus jadi menantu mak.” sayu kedengaran suara Hajah Rozi. “Kalau Yus tak setuju, mak akan halang Bad ke sana. Biarlah apa nak jadi. Walaupun abah bakal menanggung kerugian yang besar.” Hajah Rozi cuba menakut-nakutkan anak gadis itu. Mana tahu, alasan ini berhasil.
“Mak!...” Yusliza terkejut mendengarnya. Susah payah Haji Ismadi membangunkan perniagaannya. Takkan disebabkan dia, Haji Ismadi bakal menanggung beban yang besar.
“Tak apalah Yus tak setuju. Nanti mak cakap dengan abah.“ Hajah Rozi bangun untuk keluar dari bilik itu.
“Mak,jangan. Kesian abah.“ Yusliza menahan Hajah Rozi. Wanita itu duduk semula. Yusliza memandang Hajah Rozi. “Baiklah, Yus setuju. Tapi konvo...“
“Mak janji, mak akan uruskan semuanya. Yus akan hadir pada hari konvokesyen tu. Ini janji mak. Terima kasih,Yus.“ wanita itu kembali ceria. Yusliza hanya tersenyum hambar. Harap-harap,janji emak itu akan dia tunaikan.
Bunyi mesej masuk mematikan lamunannya. Jam menunjukkan pukul 1 pagi. Matanya masih belum mengantuk. Yusliza mencapai telefon bimbitnya di atas meja sisi katil. Siapa pula yang hantar mesej pagi-pagi buta ni!


Hari ini, masuk kali yang ketiga Yusliza keluar bersama tunangnya. Banyak perkara yang perlu diuruskan hari ini. pergi ke Pejabat Agama Islam, butik, barang-barang hantaran dan sebagainya. Untungnya hari ini, Hajah Rozi dan Puan Hasyimah turut menyertai mereka.
“Syimah, dapat juga kita berbesan,kan? Dulu, kita berdua ni selalu berangan nak satukan Yus dengan Borhan. Maklumlah, mereka berdua rapat sangat. Tak boleh berenggang. Tapi sekarang, lain pula jadinya.“ Hajah Rozi mula membuka cerita lama. Langsung tidak menyedari kata-katanya itu mengguris hati Badrul.
Puan Hasyimah tersenyum. “Han tu, baik budaknya. Berkenan saya,kak. Tapi tak ada jodoh pula. Tak mengapa, yang kat depan kita ni pun baik juga. Handsome lagi.”puji Puan Hasyimah cuba mengambil hati jejaka itu. Badrul hanya tersenyum tawar.
“Abang Han bila balik? Dah lama tak jumpa dia. Last sekali masa kenduri dulu. Tu pun tak sempat nak berbual.”tanya Yusliza. Langsung tidak peduli akan perasaan tunangnya di sebelah.
“Dia cakap,hujung minggu ni dia baliklah. Kak Ezah pun dah nak bersalin. Nanti jumpa,boraklah puas-puas.“ujar Hajah Rozi.
“Oh ya, Bahari ada call Yus. Entah mimpi apa dia tu. Dia pun balik hujung minggu ni. nak cuci mata dulu katanya.“tergelak Yusliza ketika menyampaikan pesanan Bahari itu. Yusliza dan Bahari tidaklah begitu rapat. Namun, sesekali bertemu, mereka boleh ngam. Kadang-kadang macam anjing dengan kucing!
“Yang tu sorang lagi. Dah habis exam, bukan reti nak balik. Merayap aje. Nak kata belajar jauh, kat UPNM tu aje. Tapi merayapnya sampai utara sana.“bebel Hajah Rozi. Mereka semua tertawa.
Yusliza menjeling ke arah Badrul di sebelahnya. Lelaki itu langsung tidak tersenyum. Apatah lagi ketawa. Kenapa dia ni? Takkan datang bulan kot!


“Awak nak bawa saya ke mana ni?“tegas Yusliza. Selepas membeli-belah, Hajah Rozi meminta agar menghantarnya ke butik Amar bersama Puan Hasyimah dan memesan agar tidak perlu menjemput mereka. Badrul hanya menurut. Selepas menurunkan kedua-dua wanita itu, Badrul terus memecut keretanya menuju ke Pejabat Agama Islam.
Setelah selesai berurusan, Yusliza menyangka yang mereka akan terus pulang. Namun, sangkaannya meleset. Badrul terus memandu memasuki lebuhraya.
“Ikut aje.”serius Badrul. Yusliza diam. Malas bertanya lagi. Rasa takut pun ada melihat riak serius itu.
Sampai di Teluk Kemang, Badrul memarkir keretanya betul-betul di bawah sebatang pohon. Masing-masing kaku. Terasa sejuk dan nyaman ketika berada di bawah pohon itu. Ditambah pula dengan deruan ombak dan kicauan burung yang begitu mendamaikan.
“Kenapa bawa saya sejauh ni?” soal Yusliza.
Badrul turun dari Honda CRVnya. Dia membukakan pintu untuk Yusliza. Teragak-agak Yusliza turun. Lantas Badrul menggenggam tangan Yusliza lalu ditariknya gadis itu.
“Apa pegang-pegang ni? Lepaslah!” Yusliza menarik kasar tangannya. Terlepaslah dia dari genggaman Badrul.
“Tadi masa shopping, kau okey aje. Kenapa tiba-tiba nak marah ni?” marah Badrul pula. Terbayang kembali aksi Yusliza ketika mereka membeli-belah bersama orang tua mereka tadi. Yusliza kelihatan bersahaja. Malah gadis itu turut membalas pimpinannya dengan kejap. Yusliza juga tidak lokek dengan senyuman. Tapi kini, pandang mukanya pun gadis itu tidak sudi.
“Tadi sebab ada mak dan umi. Takkan awak tak faham!“jawab Yusliza selamba.
“Jadi,kalau mereka ada, baru kau nak pegang aku? Nak rapat dengan aku?“
“Saya buat semua tu untuk jaga hati mereka. Awak kena faham,Bad. Saya nak mereka lihat saya bahagia walaupun pada dasarnya,saya langsung tak suka.“
Badrul terkedu. Aku ni teruk sangat ke, Yus? Sampai kau tak sudi jadi tunang aku? “Habis tu, kenapa kau nak teruskan pertunangan...dan pernikahan ini?“suara Badrul perlahan.
“Because our family. My family, and your family. Same like you,right?”
“Aku akui, pada mulanya,aku terima kau kerana keluarga. Tapi kau tak pernah tahu apa yang ada di dalam hati aku ni. I love You, Yusliza.“luah Badrul. Dia sudah tidak sanggup menyimpan rasa terlalu lama.
Yusliza tergamam. Dia cintakan aku? Betulkah? ’Arghh..itu semua bohong,Yus. Dia sengaja nak seksa perasaan kau.’kedengaran satu bisikan.
’Tidak,Yus. Dia memang cintakan kau sejak dulu lagi. Percayalah.’satu suara lain menjelma.
‘Ah,jangan dengar cakap dia! Bad Cuma nak mainkan perasaan kau. Jangan percaya dengan kata-katanya!’hasutan itu terus bergema.
Yusliza menekup kedua-dua belah telinganya. “Cukuplah. Tolong jangan main-mainkan lagi perasaan saya. Saya tidak mahu diperbodohkan untuk kali yang kedua. Cukup!” Yusliza terus melangkah meninggalkan lelaki itu.
Badrul terduduk. Hanya kerana kesilapan itu, dia terus membenci aku. Arghh.. Badrul menampar-nampar pipinya sendiri.
Setengah jam mereka terpisah, Badrul kembali bangkit dari duduknya. Dia mula melangkah mencari gadis kesayangannya. Yus,kau kat mana. Jangan tinggalkan aku,sayang…
Pandangan Badrul tertancap pada sekujur tubuh seorang gadis sedang duduk sendirian di celah-celah batu. Segera Badrul menghampirinya.
“Saya sedar, saya ni bukan gadis yang awak idam-idamkan. Kerana kesedaran itulah,saya tak sanggup terluka lagi. Jadi,biarkan saya dengan hidup saya. Selepas kita kahwin nanti, saya tak akan larang apa saja yang awak nak buat. Dan saya harap, awak juga begitu.”perlahan Yusliza bersuara.
“Aku…”
“Kalau awak kereta, saya adalah jalan rayanya. Kalau awak polis, sayalah penjahatnya. Dan kalau awak Pluto, sayalah matahari yang panas. Awak Ahmad Badrul, saya Yusliza. Awak jejaka handsome,kaya,idaman setiap gadis. Saya pula gadis biasa, yang hanya ada keluarga dan sahabat di sisi. Kita berdua jauh berbeza. Dulu saya tak faham. Sekarang, saya amat memahaminya. Dan saya harap awak pun begitu.”Yusliza berucap panjang.
Badrul hanya duduk mendengar. “Kau bercakap berdasarkan apa yang kau rasa. Kau tak pernah nak ambil tahu apa yang berada dalam hati aku ni...“
“Memang saya tak tahu...dan tak nak ambil tahu. Itulah yang awak selalu ingatkan kepada saya.”pantas Yusliza memotong percakapan Badrul.
“Tapi itu dulu…”
“Ada beza ke dengan sekarang? Saya rasa awak tetap macam dulu. Anggap saya ni beruk,kan?”
“Yus...“
“Sudahlah,Bad. Cukuplah. Saya nak balik.“ Yusliza terus berlalu.