Wednesday, January 5, 2011

Cerpen : Aku Janji





Dengan ini, kami ingin membuat perjanjian.

Seandainya kami bertemu semula 10 tahun akan datang,
dan masing-masing belum bertemu pasangan atau belum berpunya,
kami akan berkahwin.
Sekiranya salah seorang antara kami tidak bersetuju kelak, pihak yang tidak bersetuju akan didenda mengikut denda yang akan ditentukan oleh pihak satu lagi.

Yang berjanji,
Ahmad Rusyaidi bin Ilham
&
Nur Imanina binti Zaim

Saksi yang terlibat,
1. Siti Syauqina binti Saliman
2. Rahimi bin Raiyan
3. Cikgu Marlia binti Naim
4. Daniel bin Aiman


“Kita buat dua salinan. Satu kau simpan, satu aku simpan.“
Aku melipat semula ‘kontrak’ itu bersama senyuman. Kusimpannya di dalam kotak yang terdapat dalam almari. Terbayang-bayang lagi peristiwa waktu ketika remaja dulu. Kelakar rasanya bila mengingati saat-saat itu.

***************************************

Cikgu Fahmi cuti hari ini. Jadi, tak belajar. Bukan main gembira lagi kami. Sekarang ni, tengah tunggu guru Pendidikan Islam masuk, Cikgu Marlia. Aku sedang berborak dengan kawan-kawanku. Topik kali ini, berkenaan dengan impian. Riuh mulut masing-masing bercerita tentang cita-cita dan impian. Opss,lupa pula. Nama aku, Nur Imanina binti Zaim. Orang panggil aku Nina aje. Tapi keluarga aku panggil aku along. Maklumlah, aku ni anak sulung. Kawan-kawan yang selalu jadi teman berbual atau lebih senang, teman bergosip aku adalah Qina, Mila, Ain dan Tiqa. Kami berlima memang satu kepala. Tapi aku lebih rapat dengan Qina. Iyelah, dia duduk sebelah aku. Mestilah selalu berkomunikasi,kan.
Sedang kami seronok berbual, seorang budak lelaki datang lalu duduk dalam kumpulan kecil kami. Kenal sangat dengan dia. Ahmad Rusyaidi atau lebih dikenali sebagai Adi. Tapi aku panggil dia Ahmad. Kenapa? Sebab aku ikut dalam iklan kat tv tu. Siapa nama? Oh,Ahmad. Adi ni budak kelas Sains. Dia pandai sikit dari aku. Hehehe... Macam mana aku tahu sikit ke, banyak ek? Dia ni memang suka menyibuk. Selalu sangat menyibuk dalam kumpulan aku ni.
Kami selamba meneruskan bercerita. Masing-masing khusyuk mendengar celoteh Ain. Tapi tumpuan aku sedikit terganggu apabila Adi mengusik aku. Diselongkarnya bekas pensil aku, diketuknya tangan aku dengan pen, ditariknya tudung aku, macam-macam lagilah. Dia berhenti mengusik apabila aku memukulnya dengan buku teks Prinsip Perakaunan. Adi menggosok-gosok lengannya sambil menyeringai kesakitan.
“Nina,your turn now. Lepas kau Tiqa pula.”ujar Mila. Aku tersenyum-senyum. Iyelah, bila memikirkan masa depan, pastinya yang indah-indah belaka,kan. Aku pun mula bercerita. Sesekali Adi akan menyampuk. Merosakkan plot cerita aku. Aku hanya menjeling tajam. Sesekali aku akan memijak kasut hitamnya. Iyelah, diakan pengawas sekolah. Mesti pakai kasut hitam.
“Cikgu Marlia masuk lewat. Ada hal kejap.”ujar Fahim. Bertambahlah kegembiraan kami.
Usai aku bercerita, Adi tiba-tiba menarik buku latihan aku lalu dikoyaknya. Aku yang kegeraman pantas mencubit lengannya kuat. Suka-suka aje menggoyakkan buku aku! Dia hanya tersengih-sengih. Bertambah geram aku dibuatnya. Nak aje aku bagi pelempang kat pipi dia yang putih tu!
Aku mengaku, aku memang sedikit kasar. Yelah, aku ni membesar dalam keluarga yang kebanyakkannya lelaki. Sepupu aku ramai lelaki. Perempuan cuma tiga empat orang aje. Adik-adik aku pun semuanya lelaki. Asal nakal sikit, aku lempang aje. Hahaha... Sepupu perempuan aku yang lain pun lebih kurang sama perangai macam aku. Tapi,aku ni masih lagi ingat siapa aku. Aku suka berkain batik bila di rumah. Aku selesa memakai baju kurung bila keluar bersama keluarga. Kalau keluar dengan kawan, aku pakai seluar. Yelah, kalau apa-apa berlaku, kena kejar anjing ke, senang la aku cabut lari.
Adi mencoretkan sesuatu pada kertas tersebut. Aku tidak ambil peduli. Namun, tiba-tiba dia menghulurkan kertas tersebut kepadaku. Aku membacanya.
“Weh,kau gila?”jerit aku sambil terbangun dari dudukku. Satu kelas pandang aku. Malulah juga. Aku kembali duduk. Qina terpinga-pinga memandang aku dan Adi. Diambilnya kertas itu daripada aku. Mila dan Tiqa sudah ke tandas. Ain pula...mungkin ke perpustakaan. Cikgu Ramesh ingin berjumpa dengannya.
“Kau gila ke?”marahku lagi. Iyelah, aku ni bukan rapat sangat dengan dia. Musuh pun bukan. Adi ni, semua orang diusiknya. Jadi, tak boleh nak buat kesimpulan yang dia sukakan aku. Perasannya!
“Tadi kan korang berborak fasal impian. Tiba-tiba aku terfikir idea ni.“
“Kalau iye pun, kenapa aku? Mila, Qina, Tiqa dan Ain pun terlibat sama. Kenapa tak pilih antara diaorang aje? Kenapa aku?“
Adi meletakkan ibu jari dan jari telunjuknya ke dahi lalu memicit-micit halus. Lagak seperti memikirkan sesuatu. “Aku pun tak tahu la. Yang aku ingat, masa aku tengah tulis tadi, Mila, Tiqa, Ain semua blah. Qina gelak-gelak tengok kau yang macam nak makan aku. Terus aku tulis mana kau kat sini.“
“Apa, pandangan tajam aku tu melanggar undang-undang sekolah ke?“
“Tak. Tapi boleh melanggat undang-undang hati aku.“Adi mengusik. Aku merengus geram. Aku menolak kasar kertas itu kearahnya.
“Nah. Aku tak nak terlibat. Merepek. Pergi main jauh-jauh. Ganggu aku aje.”
“Eleh…sebenarnya, kau takut nak sahut cabaran aku ni,kan.”
Berombak dada Aku menahan marah. “Kau cabar aku, Ahmad?“ soalku sedikit kuat. Aku menumbuk meja kuat. “Fine. Aku terima cabaran kau ni!“ aku terus menarik kertas tersebut untuk ditandatangani.
Keesokkan harinya, Adi beri aku satu salinan ’kontrak’ kami untuk aku simpan. Yang asal, dia pegang. Terbeliak biji mata aku melihat senarai nama saksi. Cikgu Marlia? Entah apa dia ayat Cikgu Marlia sehingga cikgu pun turut bersubahat untuk menjadi saksi. Tersenyum kecil aku melihat nama Daniel ada di situ.
“Sukalah tu ada ex dia.“usik Adi.
“Apa pula ex aku. Aku dengan dia tak ada apa-apa. Kau tu yang selalu kenenkan aku dengan dia!”marahku lalu pergi dari situ. Malas mahu melayan Adi. Sememangnya dia dan Daniel tidak pernah berhubungan. Mereka cuma teman biasa. Belajar sama pun ketika kelas Pendidikan Islam. Entah siapa yang hasut Adi untuk kenenkan aku dengan Daniel.
“Simpan kontrak tu elok-elok. Nanti kau tak lupa. Ingat tahu, kalau kau ingkar, siap kau. aku denda kaw kaw punya!“jerit Adi. Aku dengar. Kalau dah dia jerit, mestilah dengar,kan. Tapi aku malas nak toleh. Nanti makin banyak pula idea dia untuk usik aku.

***********************************************

10 tahun kemudian

10 tahun berlalu. Umurku kini sudah menjangkau ke angka 27. Ibu sudah mula bising sebab anak dara dia ni tak kahwin-kahwin lagi. Alahai ibuku, sabarlah. Anakmu ini belum bertemu dengan putera raja. Huhu... Ayah aku best. Dia relaks aje. Tak bising-bising macam ibu. Tapi aku tahu, jauh di sudut hati ayah, dia turut risau.
“Ibu nak carikan tak mahu. Tengok Qina tu. Anak dah nak masuk dua. Along ni, calon pun tak ada…bla..bla..bla..”aku hanya mendengar bebelan itu. Akhirnya, aku lentok di bahu ayah. Belum hilang penat aku memandu dari Melaka ke Ipoh, ibu sudah memulakan ‘ceramahnya’. Nasib ibulah dapat anak kurang dengar kata ibu ayah.
Hari Isnin datang lagi. Malasnya aku nak pergi kerja. Tapi, kugagahkan juga diri ini untuk mencari rezeki. Aku bekerja sebagai seorang setiausaha di sebuah syarikat di Melaka. Sebenarnya, aku nak jadi akauntan. Itulah jurusan yang aku pilih ketika di universiti dulu. Namun, dalam keadaan sekarang ni, kita tidak boleh memilih. Ramai kat luar sana tu yang memerlukan pekerjaaan. Bersyukurlah dengan apa yang kita dapat ni. Itu yang ayah aku selalu pesan. Lagipun, aku tak kisah sangat jadi setiausaha ni. Asalkan pekerjaan aku ni halal.
“Nina, lunch nanti ikut saya jumpa client. Jangan lupa.”pesan bos aku, Encik Fadhil. Eh, dia pula ingatkan aku? Encik Fadhil ni handsome orangnya. Tapi sayang, sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Kembar lagi tahu.
“Baik,bos.”jawabku. Aku melihat bosku berlalu masuk ke biliknya. Tiba-tiba, aku teringatkan seseorang. Nak kata rindu,bukan. Cuma tiba-tiba teringat padanya selepas memuji ketampanan Encik Fadhil tadi.
Dah 10 tahun tidak bertemu. Dia dah kahwin ke? Mestilah dah,kan. Takkanlah belum. Masa sekolah dulu pun ramai yang tergila-gilakan dia. Terutamanya juniorlah. Jadi, tidak hairanlah kalau ada yang mengejarnya untuk menjadi isterinya.. Kemudian berkahwin, dan mendapat anak. Semoga dia berbahagia. Bolehlah aku buang kontrak tu. Eh, kontrak? Mana aku letak,ya? Aku mengetuk-ngetuk meja sambil cuba untuk mengingatinya.
Duuk! Bunyi ketukan kuat di mejaku. Terkebil-kebil mata aku memandang insan yang berada di hadapanku kini. Yang ni pun handsome juga. Anak siapalah ni.
“Encik Fadhil ada?“tegas bicaranya. Laju aku mengangguk. Khayalan aku mati mendengar suara tegasnya. Seram! Belum sempat aku berkata apa-apa, lelaki itu masuk ke bilik Encik Fadhil.

*************************************************

Air milo ais kutenung. Minuman kegemaran aku dan Qina. Erm...lama tak jumpa Qina. Hujung minggu ni aku nak pergi Port Dicksonlah. Nak jumpa dia. Rindu.
“Setiausaha kau ni memang suka berangan ke?“suara itu mengganggu lamunanku. Aku menoleh ke arahnya.
“Fikir soal jodoh agaknya.“jawab Encik Fadhil. Terkejut aku mendengarnya. Dua lelaki itu hanya tergelak.
“So, masih belum berpunya la ni?“soal lelaki itu. Aku hanya menjungkit bahu lalu tertunduk. Malu.
“Dia malu la Adi kau tanya macam tu.“usik Encik Fadhil. Automatik aku duduk menegak.
“Adi?“hanya itu yang mampu keluar dari mulut aku.
“Yelah, kawan saya merangkap client kita ni, Adi. Encik Ahmad Rusyaidi. Kan saya dah kenalkan pada awak tadi.”jelas Encik Fadhil. Aku terkedu. Aku pandang dia. Dia hanya tersenyum kepadaku.
“Awak berangan ya masa saya kenalkan dia tadi.”
Soalan bos aku tu tidak aku jawab. Aku masih terkejut. Kenapalah mesti jumpa dia semula. Baru tadi aku teringat pada dia. Tiba-tiba muncul depan mata. Argh…tak nak! YA ALLAH, Harap-harap dia dah bertemu dengan pasangannya.
“Kau masih simpan lagi kontrak tu?“
“Kontrak?“Encik Fadhil menyampuk.

****************************************************

“Aku tak nak. Kita batalkanlah kontrak tu,please.“kataku. Hari ini, kami bertemu lagi. Adi beria-ia ajak aku keluar. Pastinya dia ingin berbincang tentang perjanjian itu. Aku yakin, pasti dia akan mengumumkan bahawa perjanjian itu sudah terbatal dengan menyatakan bahawa dia sudahpun mempunyai kekasih hati. Namun, jangkaanku meleset sama sekali. Dia menuntut janji itu.
“Okey,fine. Tapi kau kena ingat. Kau akan didenda. Aku nak duit.”balas Adi. Fuhh...lega hati aku. Tak apalah kalau kena denda.
“Berapa kau nak? 5 ribu? 10 ribu?...”
“Aku nak 10 juta dalam masa 10 hari.“
“What? 10 juta? Hei Ahmad, kau ni melampau. Mana aku nak dapat duit sebanyak tu? Dalam 10 hari? Kau ni melampaulah.”aku mengamuk di situ lalu menepuk kuat belakang badannya. Ramai yang memandang ke arah kami untuk melihat apa yang berlaku. Akhirnya, aku berlalu meninggalkan dirinya.
Langkah kakiku terganggu apabila Adi menarik tanganku. Dicengkam erat kedua-dua lenganku. “Aku ikut seperti yang dah dijanjikan. Segalanya terletak pada kau sekarang. Sama ada bagi aku 10 juta tu, atau jadi isteri buat selamanya. Kalau dulu, kau berani sahut cabaran aku. Tapi sekarang, kenapa kau takut nak menghadapinya,huh?“. Aku terpaku mendengar suara lembutnya. Adi melepaskan genggaman dan pergi meninggalkan aku.
Aku tersedar. Eh, tadi aku datang naik kereta dia. Tapi sekarang... Nampaknya, aku kena naik teksi.
Hujung minggu itu, aku bertemu dengan Qina. Rupa-rupanya, kawan baik aku tu yang beritahu Adi aku di mana. Geram la juga. Tapi nak buat macam mana. Benda dah jadi. Aku menceritakan segalanya pada Qina.
“Bagi aku, kau terima sajalah dia. Lagipun, betul kata dia. Dulu kau berani. Sekarang kenapa takut? Mana kau nak cari 10 juta tu? Masa pun dah suntuk sangat.“
“Entahlah,Qina. Kalau ikut aku, aku tak nak. Aku bukan kenal dia sangat. Aku kawan biasa aje dengan dia. Yang aku tahu, dia kuat mengusik. Suka buat orang sakit hati dan marah. Aku takut...“
“Kau tak bahagia?“potong Qina. Aku melepaskan keluhan. Ya, aku takut perkahwinan itu tidak bahagia. Bagaimana kalau hati aku yang terluka?
“Kau solat istikharah, berdoa banyak-banyak. Minta petunjuk dari DIA. Aku doakan kau bertemu dengan penyelesaiannya.“

*******************************************************

30 Disember 2006.
Aku sah menjadi isteri kepada Ahmad Rusyaidi bin Ilham. Kami bertemu semula, bertunang dan akhirnya dinikahkah. Semuanya berlaku dalam masa setahun. Terbaiklah...
Sebenarnya, aku masih meragui keputusanku ini. tapi, mana mungkin aku dapat wang 10 juta itu. 10 tahun pun belum tentu aku dapat menggumpulkan wang sejumlah itu. Inikan pula cuma 10 hari.
Bunyi kompang menyentakkanku. Aku bangun lalu keluar dari bilik. Suasana riuh di luar rumah menyambut ketibaan pengantin lelaki. Aku pandang ayah, aku pandang ibu. Lebar senyuman masing-masing. Akhirnya, anak mereka disunting orang. Aku masih ingat bagaimana ibu dan ayah memelukku erat setelah aku sah bergelar isteri. Iyelah, aku ni anak perempuan tunggal mereka. Pasti sedih apabila aku bukan lagi tanggungjawab mereka, bukan lagi hak utama mereka. Ibu menangis. Ayah...aku tahu, hati ayah menangis. Tapi ayah pandai kawal emosi. Wajah dia nampak cool aje. Lelaki kena kuat. Kalau lelaki asyik nangis, siapa nak jaga wanita? Siapa nak melindungi mereka? Itu kata-kata ayah ketika aku bertanya kepadanya kenapa ayah tak nangis bila emak masuk hospital kerana keguguran dulu.
Suara bising kaum lelaki menarik perhatianku. Tu dia... abang-abang sepupuku yang ramai itu sudah berkumpul untuk mintak duit ‘tol’. Adik-adik dan pak cik- pak cik aku pun turut ada sama. Hah? Pak cik-pak cik yang duduk masak kat belakang pun ada sama sambil membawa kayu dan sudip? Padan muka kau,Ahmad. Nak sangat,kan. 10 ribu kau habis bagi duit ’tol’ kat diaorang. Eh, yeke sampai 10 ribu? Macam tak logik aje.
Tapi, aku pelik. Aku tengok dia senyum aje. Sempat main mata dengan aku. Nak aje aku baling kipas kat tangan Ija ni kemukanya. Tak risau ke duit dia habis bayar ‘tol’ tu? Aku jelirkan lidah sekilas kepadanya lalu aku memandang ke arah lain. Nasiblah siapa nampak. Buat tak tahu ajelah.
Keesokkan harinya, majlis persandingan diadakan di sebelah pengantin lelaki pula. Ramai juga kaum kerabat Adi. Adi sendiri mempunyai tujuh orang adik-beradik. Dia anak yang bongsu dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Aku anak perempuan tunggal, yang sulung. Dia anak lelaki tunggal, yang bongsu. Erm...macam... macam apa,ya?
Letih melayan tetamu, aku masuk ke bilik. Usai solat, aku merangkak naik ke katil. Orang cakap tak elok tidur lepas Asar. Nanti otak lembab. Tapi aku letih sangat. Tidur ajelah.
Aku terkejut bila tiba-tiba ada bantal menghempap mukaku. Terus aku terduduk. Melihatkan seorang lelaki sedang seronok mentertawakan diriku, aku sebak. Tiba-tiba aku menangis. Panik Adi melihat aku menangis. Dia datang mendekatiku. Namun aku berlari masuk ke bilik air. Aku sendiri pelik kenapa aku menangis. Emosiku tidak stabil hari ini. Tapi, biasanya aku akan begini bila...oh, tidak.
Keluar dari bilik air, aku berlagak selamba menuju ke almari. Cepat-cepat aku mengambil ’barang’ku itu lalu laju menuju semula ke bilik air.
“ABC ke...Bendera jepun?“soal lelaki itu tiba-tiba. Aku malu. Tapi berlagak selamba.
“Dua-dua tu sama.“jawabku ringkas. Dia hanya tersengih. Aku ingin keluar dari bilik itu. Namun, dia memanggilku.
“Tolong bagi abang tuala tu.“pintanya sambil menunjuk ke arah tuala tersebut. Dengan langkah malas, aku mengambilnya. Belum sempat aku berbuat apa-apa, dia berkata, “Jangan campak. Tak baik. Isteri yang baik, kena bagi dengan cara yang baik dan disenangi.” Sejuk hati aku mendengarnya. Aku melangkah mendekatinya.
“Kejap. Ada apa kat dalam mulut sayang,tu?”soalnya. Aku pelik. Ada apa? Aku tak rasa apa-apa pun. “Sini abang buat.“dia menarik tanganku mendekatinya.
“Mana ada apa-apa. Tak rasa pun. Lagipun aku dah gosok gigi tadi.”
“Ada. Cuba buka mulut.“arahnya. Aku tak layan. Aku buat tak tahu aje.
Tiba-tiba, Cupp! Bibirku dan bibirnya bertemu. Aku terkaku. Bulat mataku memandangnya yang tersenyum-senyum. Bibirku yang tertutup rapat tadi melopong luas.
“Erm...itu dia lidah yang jelir kat abang semalam. Tak dapat tengok lidah, dapat cium bibir pun jadilah.“ujarnya. Sebelum berlalu, sempat dia berbisik di telingaku.
“Lain kali jangan buat yang bukan-bukan. Sebab abang akan balas dengan macam-macam cara.“Adi senyum menggoda. Lemah lutut aku mendengarnya.
Itulah kisah pada hari pernikahan dan persandingan aku.

*********************************************************

Sepanjang 12 bulan menjadi isterinya, aku akui, dia melayan aku dengan baik. Sedaya-upaya dia berusaha untuk menjadi yang terbaik di sisi aku. Kalau aku merajuk apabila diusik, dia akan pujuk aku. Pernah sekali, ketika dia seronok mengusik aku, dahiku terhantuk pada bucu meja. Aku menggosok dahiku. Mujur tidak luka.
“Kau ni jahatlah. Sakit tahu dahi aku. Tahulah aku ni kasar. Tapi janganlah anggap aku ni lelaki.“
Adi datang mendekatiku. Dia duduk di hadapanku. “Sorrylah,abang tak sengaja. Mana sakit? Mari sini abang tengok.“
Cupp! Dahiku dicium lembut. Hatiku terusik. Hilang rasa sakit seketika. Keesokkannya, aku demam dan dahiku bengkak. Dia menjaga aku dengan baik.
Setiap hujung minggu, dia akan berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Melaka. Pernah aku mencadangkan padanya untuk kurangkan kepada dua minggu sekali. Dia marah aku balik. Dia kata, aku tanggungjawab dia. Dia akan jadi rindu pada aku kalau lama sangat tidak bertemu. Aku naik hairan. Kenapa nak rindu?
Kadang-kadang, aku rasa serba-salah. Layanan aku padanya masih seperti dulu. Tiada yang berubah. Aku panggil dia Encik Ahmad. Cuma bila dihadapan keluarga, aku akan menggunakan kata ganti nama saya-awak. Tapi, dia tidak pernah merungut.
Minggu ni, dia tidak dapat balik. Outstation katanya. Kemana, berapa lama, aku sendiri tak pasti. Lupa nak tanya. Patutlah minggu lepas dia cuti seminggu. Aku pun disuruhnya mengambil cuti. Dia ajak aku keluar. Nak ber’dating’ dengan aku katanya. Entahlah, pelik betul suami aku ni. Boleh dikatakan hampir setiap hari kami keluar. Shopping, tengok wayang, berkelah, dan macam-macam lagi. Sikap romantiknya kadang-kala berjaya mengusik hatiku. Erm...dah seminggu dia tidak menghubungi aku. Sibuk agaknya.
Malam terakhir sebelum dia pulang ke Kuala Lumpur, dia meminta sesuatu daripada aku. Aku tergamam. Kaku dengan kucupan pertama lembutnya di dahiku. Kakiku seolah-olah tidak mampu melangkah lagi. Malam itu, dia melayan aku dengan lembut dan mesra. Sejak peristiwa itu, aku semakin menyayanginya. Ya, aku mengaku. Sesekali, aku akan merinduinya. Dan perasaan itu semakin bercambah dari hari ke hari. Tapi, aku takut untuk jatuh cinta. Kenapa? Sedangkan perasaan itu sudah wujud dalam diri aku pada Adi.
“Assalamualaikum, Nina. Umi ni.“ibu mertuaku memulakan bicaranya. Aku menjawab salamnya. Setelah bertanya khabar, umi menyatakan tujuan sebenar dia menelefon aku.
“Nina, minggu depan balik,ya. Kita buat surprise.“
“Surprise apa umi? Untuk siapa?”
“Hey,dah lupa ke menantu umi ni. Kan sabtu depan, birthday Adi. Umi cadang, umi nak Nina jemput dia kat airport. Mesti dia gembira.”jelas kedengaran suara teruja ibu mertuaku. Ibu mertuaku ni baik orangnya. Dia pernah berkata padaku. Dia tidak kisah siapa pun pilihan anaknya. Asalkan orang itu mampu menjaga anaknya dengan baik. Adakah aku jaga anak umi dengan baik? Mesti tidak!
“Nina ni letih agaknya. Sampai jadi pelupa ni. Adi kan outstation ke Indonesia dua minggu. Adi telefon umi, dia beritahu sabtu depan dia balik.”ujar umi. Aku ketawa kuat. Sebenarnya, aku pura-pura ketawa aje. Memang aku tak tahu dia kemana dan berapa lama,kan.
“Umi, Nina lupa. Dia ada beritahu Nina. Tapi dia tak cakap hari apa dia balik. Nak buat surpriselah tu. Tak apa, nanti Nina balik. biar dia terkejut tengok Nina.”ceria aku berkata. Iyelah, kena berlakon sikit. Kalau tak, nanti mesti umi kecewa sebab aku tak jaga anak dia dengan baik.
Setelah berbual panjang, talian dimatikan. Aku termenung seketika. Kenapa dia tak beritahu aku bila dia nak balik? Kenapa dia hubungi umi dia,bukan aku? Dia sudah tidak menyayangi aku lagikah? Tapi... Ah, aku sendiri bukanlah yang terbaik untuk dia. Tarikh lahirnya pun aku tidak ingat!

******************************************************

Aku duduk sementara menunggu Adi keluar. Jarang datang sini. Hampir sesat juga aku untuk sampai ke KLIA tadi. Kelibat seorang lelaki dan seorang perempuan menarik perhatian kau. Mereka berdua cukup mesra. Aku menarik nafas lalu mendekati mereka berdua. Relaks. Ternyata, nampak aje batang hidung aku, Adi terkejut. Aku tetap berlagak cool. Mungkin, benarlah tekaanku. Aku bukanlah yang terbaik buatnya.
“Maaf ganggu. Umi suruh saya jemput awak.“ujarku. Adi hanya mengangguk lalu tersenyum.
“Dila,meet my wife, Nina.“Adi memperkenalkan aku kepada wanita itu. Kami bersalaman sambil berbalas senyuman..
“Nice to meet you. Okeylah, I got to go. Member I dah datang tu.”wanita itu meminta diri. Aku jalan mendahului Adi menuju ke tempat letak kereta. Sampai di sana, dia mengambil kunci kereta dari tanganku lalu menyuruh aku masuk. Aku yang terpinga-pinga menurut juga. Enjin dihidupkan. Kami berdua sepi. Tiba-tiba, dia memelukku erat.
“I miss you so much.”bisiknya. Adi mencium pipiku lalu kembali mengeratkan pelukannya pada tubuhku. Aku pejamkan mata. Tanpa disedari, aku turut membalas pelukannya. ‘Saya pun…rindukan awak.’bisik hatiku. Tapi, siapa wanita tadi?
Sepanjang perjalanan, aku diam. Otakku terus berfikir. Siapakah dia wanita itu di sisi Adi.
“Kenapa senyap aje ni,sayang?“soalnya. aku hanya menggeleng lemah. Tak payahlah aku beritahu dia. Nanti dia tahu pula yang aku sebenarnya cemburu.
“Abang rasa macam tak mahu balik aje. Kita jalan-jalan,nak. Abang rindulah nak duduk berdua dengan sayang. Gurau-gurau, gaduh-gaduh.“ujarnya bersama tawa. Aku menjeling. Suka usik aku!
“Umi pesan terus balik. Jangan melencong ke tempat lain.“mendatar suaraku. Itulah yang umi pesan tadi. Mesti umi dah faham sangat tentang apa yang ada dalam kepala anak manjanya itu.
“Sayang cuti ke? Lama tak?”
“Esok saya nak balik Melaka.”balasku. Dia diam. Aku pun diam.
Tiba di rumah uminya, nyanyian selamat hari lahir bergema bila Adi membuka pintu. Terkejut dia melihat hampir semua adik-beradik dan anak saudaranya turut ada bersama. Dia masuk lalu bersalam dan berpelukan seorang demi seorang. Aku berlalu menuju ke dapur. Di dapur, aku membantu Hajar, anak Kak Long Ila menyediakan makanan. Hari itu, aku lebih banyak diam. Aku tak pasti mereka perasan atau tidak.
Malam semakin melabuhkan tirainya. Aku duduk termenung di birai katil. Aku sendiri tak tahu apa yang aku fikirkan. Sedar-sedar, Adi sudah duduk mencangkung di hadapanku.
“Abang minta maaf kalau abang ada buat salah.”itulah ayat pertamanya. Aku terkejut. Kenapa dia perlu berkata begitu?
“Abang dah cuba untuk menjadi yang terbaik buat sayang. Rasanya, abang dah gagal.”
“Apa awak merepek ni?”
“Abang minta maaf. Sepatutnya, dari dulu lagi abang patut minta maaf. Biarlah abang berterus-terang. Memang, kita kawan. Kontrak tu, abang main-main aje. Tak serius pun. Tapi bila abang jumpa Qina, segalanya berubah. Dengan maklumat yang abang dapat, abang cuba jejaki sayang. Abang tak sangka, ia jadi lebih mudah bila kita bertemu, dan sayang bekerja sebagai setiausaha kepada senior abang. Serta-merta abang jumpa jalan penyelesaiannya.”
“Jalan penyelesaian? Apa maksud awak?”
“Dila. Perempuan tadi tu, rakan sekerja abang dulu. Dia selalu ganggu hidup abang. Abang rimas. Satu cara untuk buat dia berhenti mengganggu abang adalah berkahwin. Dan bila bertemu Qina, abang teringat kembali kontrak tu.”
“Awak larikan diri daripada insan yang menyayangi awak? Lepas tu, libatkan saya dalam hal ni?”
“Dia ada anak dan...“
“Oh, awak tak sudi jadikan seorang janda sebagai isteri? Macam tu?“geram pula aku. Hina sangat ke bila wanita bergelar janda?
“Sayang salah. Bukan itu maksud abang. Pada masa tu, dia masih lagi bersuami dan mempunyai dua orang anak. Suaminya baik. Jadi, cuba sayang beritahu abang. Tidak salahkah seorang lelaki menghancurkan rumahtangga lelaki lain?”jelasnya. Aku pula terdiam. ‘Sepertimana wanita tidak mahu merosakkan rumahtangga wanita lain, begitu juga lelaki.’detik hatiku.
“Sebab tu, abang paksa sayang terima abang. 10 juta tu, abang tak ambil serius. Abang tahu, sayang tak mampu kumpul jumlah itu dalam masa 10 hari. Abang takut juga kalau-kalau sayang nekad untuk lari jauh daripada abang. Tak sangka, sayang bersetuju untuk menerima abang.”ujar Adi lagi bersama senyuman kecil.
“Abang mengaku, tiada perasaan sayang pun pada sayang masa kita dinikahkan. Tapi,abang dah niat. Biarlah sayang yang menjadi isteri abang selama-lamanya. Ternyata, tidak sukar untuk menjadikan sayang yang teristimewa dalam hati abang.”
Aku menatap wajahnya. Terpancar sinar bahagia melalui pandangan matanya. “Saya tak layan awak dengan baik…”
“Siapa kata? Sayanglah yang terbaik untuk abang. Abang suka isteri abang kuat merajuk ni, tapi ego untuk menunjukkan rajuknya. Abang suka bila sayang marah bila diusik. Bila kita sayangkan seseorang, kita kena terima baik buruknya. Sebab tiada seorang pun dia dunia ni yang sempurna,kan?”
Airmata aku dah mula mengalir. Dia begitu menyayangi aku. Menerima aku seadanya. Kenapa masih mahu penafikan perasaan ini? Kenapa perlu menyembunyikannya? Tangan kasarnya menyeka airmataku.
“I’ll love you forever,sayang.“luahnya. Aku terus memeluknya erat. Membisikkan kata sayang kepadanya. Meluahan segala yang terpendam di hati. Dia semakin menarikku agar rapat kepadanya.
“Eh, Nur Imanina ke ni?”tanya Adi. Aku melopong.
“Yelah. Kenapa?“
“Buat pertama kali dengar suara romantik dia. Tergoda abang.“dia mengenakan aku. Aku memukul kuat bahunya.
“Kita bina semula rumahtangga kita,ya.”pinta Adi. Aku mengangguk laju. Malam itu tidurku lena berbantalkan lengannya.
Petang Ahad tu, aku balik Melaka. Berat hati dia mahu melepaskan aku. Sempat aku bertanyakan tentang kontrak yang dia simpan dulu. Adi kata, dia tak tahu di mana dia menyimpannya. Silap-silap sudah pun terbuang. Aku tanya lagi, bagaimana dia mendapat kepercayaan daripada Cikgu Marlia untuk menjadi saksi. Ternyata, jawapan dia buat aku terdiam.
“Abang tiru tandatangan Cikgu Marlia. Terror tak?”
Aku menjeling geram sambil menahan sabar. Yang aku pun satu. Kenapalah tak pergi tanya semua saksi tu. Ini senang-senang aje percaya pada tipu helah Adi!

*************************************************

Tahun 2010 sudah hampir ke penghujungnya. Lebih kurang dua minggu lagi, tahun 2011 akan menjelma. Perkahwinan kami sudah hampir ke angka 4. Kini, kami sedang menunggu kehadiran cahaya mata ketiga kami. Hehe...setahun satu. Kata Adi, rezeki jangan ditolak.
Dua minggu selepas kejadian itu, aku didapati mengandung. Bukan main gembira lagi Adi. Masuk bulan kedua, serta-merta aku ’diberhentikan’ kerja. Adi tidak izinkan aku bekerja. Aku cuba memberi pelbagai alasan. Dia kata, dia mampu untuk menanggung semuanya. Aku tanya ayah dan ibu aku. Iyelah, susah payah mereka menyekolahkan aku sampai universiti. Sekarang tak dapat nak bantu mereka pula. Tapi ayah dan ibu gelakkan aku!
“Along kan isteri dia. Kenalah ikut cakap dia. Jangan risau fasal kami. Duit pencen ayah dan ibu cukup untuk sara kami. Lagipun, tinggal adik aje yang masih belajar. Itupun tinggal setahun aje lagi.“
Akhirnya, aku mengalah. Ijazah aku tu, aku simpan buat kenangan aje kot. Tapi tak tahulah kalau-kalau satu hari nanti dia akan kembali memberi keizinan untuk aku bekerja. Aku ketawa sendiri.
Aku berdiri di ambang pintu bilik memerhatikan mereka. Dua heroku, Adam dan Akid sedang lena di katil masing-masing. Erm…kejap lagi bangunlah mereka. Aku tersentak bila ada tangan yang memeluk pinggangku. Aku tidak perlu menoleh. Aku cukup kenal dengan bau minyak wanginya. Dia mencium pipiku sambil mengusap-usap perutku.
“Anak papa yang kat dalam ni sihat? Mama dia macam mana? Hero-hero papa ok?“soalnya. Setiap kali pulang dari kerja, itulah soalan yang akan ditanya oleh Adi.
“Semua sihat. Abang dah solat?“soalku. Adi mengangguk.
Aku menyoal lagi. “Abang nak makan? Sayang sediakan,ya. Abang pergi mandi dulu.”aku cuba melepaskan diri darinya untuk menuju ke dapur.
Adi menarik tanganku. Dia kembali memelukku. “Nantilah. Abang rindu ni.”bisiknya. Hai...hari-hari jumpa. Hari-hari rindu aku. Betapa kasihnya dia pada aku.
"Abang janji, abang akan bahagiakan sayang. Abang janji, abang akan bersama sayang selamanya. I love you.“sayup-sayup kedengaran suaranya itu di telingaku. Aku khayal seketika.
Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. “Encik Ahmad, perlu ke kita buat kontrak baru untuk janji Encik Ahmad ni?”usikku.
Dia menarik hidungku. Aku menyeringai kesakitan. “Tak payah.“ Tegasnya.
“Tapi…”
“Abang yakin yang sayang akan menjadi isteri yang baik untuk abang. Dengan keyakinan abang inilah, abang berjanji untuk menjaga sayang hingga akhir hayat nanti. Abang harap sayang pun berjanji untuk perkara yang sama pada abang.”
“Nina janji,abang.”
Ya, aku berjanji untuk terus bersamanya selamanya. Kalau dulu, dia bukanlah yang terpenting dalam hidupku. Tapi kini, dia adalah insan yang menjadi kepentinganku.
Pesan ayah, pesan ibu, pesan umi, semuanya aku akan cuba untuk penuhi. Demi membahagiakan insan istimewa di dalam hatiku ini, Ahmad Rusyaidi bin Ilham dan juga permata hati kami.