Sunday, February 13, 2011

Ku Terima Seadanya 24




YUSLIZA

Hari yang dinantikan semakin hampir. Lima hari lagi, dia akan menjadi isteri kepada Ahmad Badrul Bin Haji Ismadi. Lelaki yang ingin dia lupakan, tetapi semakin dekat pula lelaki itu dengan dirinya. ‘Eh, kejap-kejap. Bila masa pulak aku menantikan hari itu?’ bisik hati Yusliza.
Yusliza menekup mulutnya dengan bantal. Dia menjerit sekuat hati. Setelah penat, dia terbaring lesu. Merenung kosong ke arah siling. Korang, aku rindu kat korang. Aku dah banyak kali call korang. Tapi tak dapat. Kenapa korang tak nak call aku balik? Email pun korang tak balas. Aku perlukan korang sangat-sangat. Tolonglah aku. Rintihnya sendirian. Tanpa disedari, airmatanya menitis.
Bunyi ketukan di pintu mematikan kesedihannya tadi. Segera Yusliza menyeka airmata di pipinya.
“Masuk.”arah Yusliza. Puan Hasyimah melangkah masuk ke dalam bilik anak daranya. “Eh, umi. Kakak ingat siapa tadi.“
“Kenapa, kakak ada tunggu sesiapa datang ke? Lima hari lagi,kakak.“usik Puan Hasyimah. Yusliza malu.
“Umi ni...ke situ pula dia. Kakak ingat adik atau abang yang datang tadi. Umi bukan tak tahu, dia orang selalu datang tidur kat bilik kakak ni. Tak pun, duduk saja melepak kat sini.“ Jawab Yusliza.
Yusliza bangun dari pembaringannya. Dia duduk di sebelah uminya lalu melentokkan kepala di bahu Puan Hasyimah. Puan Hasyimah tersenyum senang. Sebenarnya, dia ingin meluangkan sedikit masa bersama puterinya itu sebelum ’diambil’ oleh orang lain.
“Manjanya dia. Kakak dah bersedia?“soal Puan Hasyimah. Yusliza serba-salah. Kalau kata tidak, apa pula uminya anggap nanti. Perlahan-lahan dia menganggukkan kepalanya. Senang Puan Hasyimah mendengarnya.
“Kakak, perkahwinan bukanlah suatu perkara yang boleh diambil remeh. Bukan seperti kahwin-kahwin yang pernah kamu semua jadikan sebagai suatu permainan ketika zaman kanak-kanak dulu. Dalam Islam, perkahwinan adalah suatu ibadat dan sunnah Rasulullah s.a.w. yang merupakan perlaksanaan terhadap tuntutan fitrah manusia.” Puan Hasyimah memulakan bicaranya. Yusliza merenung ibunya. Berminat untuk mendengar bicara selanjutnya.
“Ia adalah perkongsian hidup suami isteri untuk selama-lamanya. Cinta saja tidak cukup untuk kita mendirikan rumahtangga. Ia memerlukan kekuatan dan persiapan fizikal dan mental. Kita inginkan perkahwinan sekali saja. Dan kalau boleh, biarlah ia kekal hingga ke akhir hayat.
Cinta penting,tapi taklah penting sangat. Yang penting, keredhaan dari ALLAH, disertakan dengan kejujuran, keikhlasan, dan rasa hormat terhadap pasangan. Kalau ada semua perasaan itu, InsyALLAH, sayang akan wujud dan cinta akan bersemi. Ibadah yang kita lakukan kerana-NYA, InsyaALLAH, kita akan mendapat balasan yang baik dari-NYA. Umi akan mendoakan, kakak bahagia dengan Bad hingga ke akhir hayat dan mendapat keredhaan dari-NYA.”panjang lebar bicara Puan Hasyimah. Terharu Yusliza mendengarnya. Dia ingin mengatakan sesuatu, namun lidahnya kelu.
“Yus jadilah isteri yang baik. Sebab syurga seorang isteri terletak di bawah telapak kaki suaminya. Umi dah ayah bukan orang yang terpenting lagi buat Yus. Kami dah jatuh nombor dua selepas Bad. Umi tahu, Yus masih belum selesa dengan Bad. Tapi kalau Yus ikhlaskan hati, buang yang keruh dan ambil yang jernih, InsyaALLAH, semuanya akan menjadi baik. Umi yakin, Yus akan bahagia dengan Bad kelak.”nasihat Puan Hasyimah lagi. Sayu Yusliza mendengarnya. Dia memeluk erat uminya. Dibahu wanita itu, dia menangis.
“Umi…”hanya itu yang mampu Yusliza perkatakan. Kata-kata nasihat uminya sungguh menusuk jauh ke dasar hatinya. Pedih,pilu, hiba, sayang, semuanya bersatu.
“Yusliza satu-satunya puteri kami. Kami sangat sayangkan dia. Kami bukan memaksa dia untuk berkahwin. Tapi kami benar-benar menginginkan dia bahagia.“ Semakin kuat tangisan Yusliza mendengarnya.
Dalam sekelip mata, hatinya yang resah gelisah tadi kembali tenang. Dia redha. Kalau ini adalah jodohnya, dia akan cuba untuk menerimanya. Kawan-kawan...mereka ada kehidupan mereka sendiri. Biarlah. Asalkan aku dah menunaikan janji dahulu. Janji yang diikat sejak mereka berada dalam tahun petama di universiti lagi.
“Weh,janji tau. Kalau siapa-siapa antara kita nak kahwin nanti, mesti jemput. Aku tak nak kirim-kirim kad kahwin. Kena jemput pakai mulut. At least, telefon pun jadilah.“pinta Hakim. Yusliza hanya mencebik.
“Asal pulak tak boleh kirim kad. Kan tu lebih senang.”bantah Fifi. Dia sudah diri bercekak pinggang.
“Tak boleh! Kalau korang buat macam tu, aku anggap aku tak terima sebarang jemputan. Bukan apa, aku nak juga dengar suara korang sebelum jadi isteri atau suami orang. Nanti kalau dah kahwin, mesti susah nak contact lagi.“ Hakim beralasan.
“Huh,alasan yang tak logik! Entah-entah, bukan kau yang susah nak contact kita orang. Tapi kita orang yang susah nak contact kau.“balas Yusliza. Hakim hanya tersengih. Zaidi di sebelahnya hanya tertawa melihat Hakim yang terkulat-kulat mencari ayat yang sesuai untuk membalas kata-kata Yusliza.
“Whatever,lah. Yang pasti, aku akan jemput korang semua. Dua-dua cara aku akan guna. Jangan nanti korang tak datang pulak. Okeylah, aku ada date dengan Abang Anwar aku. Bye…see you.”ujar Wanda dengan aksi gediknya. Masing-masing hanya membalas lambaian itu.
“Kakak, malam ni, umi nak tidur dengan kakak,ya.”ucap Puan Hasyimah. Habis pecah berderai terbang melayang segala kenangan lama yang singgah di dalam kotak ingatannya tadi.
Yusliza meleraikan pelukannya. Dia memandang uminya. “Ayah?”
“Umi dah minta izin ayah tadi. Lagipun, umi nak bersama dengan puteri umi ni sebelum orang lain datang ambil.“gurau Puan Hasyimah. Dia menyangkakan, anaknya akan merungut memarahinya. Namun, lain pula yang terjadi. Yusliza kembali memeluknya erat.
Kaulah satu-satunya puteriku,sayang. Kau gembira, aku gembira. Kau sedih, aku pun sedih. Hati kau menangis, aku turut merasai kesayuannya. Hati kau terluka, aku turut merasakan kesakitannya. Kaulah racun, kaulah jua penawarnya. Mungkin kerana aku adalah wanita yang bergelar ibu, dan kau adalah anak perempuanku, maka aku dapat merasakan apa yang kau rasa.

_____________________________


NUR WANDA

“Mak!...“jeritan Wanda tiba –tiba bergema. Riuh satu rumah mendengar jeritan itu. Segera Puan Naimah berlari mendapatkan anaknya di dalam bilik. “Mak…tolong,mak… tolong …”
“Wanda, mengucap nak.”
“Mak, anak Wanda,mak. Siapa ambil anak Wanda. Wanda nak semula anak tu.”soal Wanda bersama tangisnya. Dia meronta-ronta minta dilepaskan apabila abang dan adiknya memegang tangan kanan dan kirinya.
Sekali lagi airmata Puan Naimah menitis melihat keadaan anaknya. “Wanda, tak baik cakap macam tu. Jangan macam ni lagi, sayang. Anak Wanda dah tak ada.” pujuk Puan Naimah penuh kelembutan. Dia mengusap lembut wajah anaknya.
Encik Bukhari menolak kerusi rodanya masuk ke dalam bilik anaknya. Dia mendekati Wanda. “Sabar,nak. Ini kehendak ALLAH. Tak baik Wanda buat macam ni.“ ujar Encik Bukhari lalu memeluk anak gadisnya itu. Wanda yang kebingungan hanya mendiamkan diri. Tersedu-sedu dia di dalam pelukan ayah dan emaknya itu.
Peristiwa tiga minggu lepas kembali terlayar di fikiran Puan Naimah. Dua hari selepas Wanda pulang ke rumah dari universitinya.
“Mak, Man mana?“ tanya Wanda. Terjengah-jengah dia ke dalam rumah mencari kalau-kalau adiknya ada di situ.
“Dia pergi main bola dengan kawan-kawan. Kejap lagi baliklah tu.“jawab Puan Naimah sambil tangannya lincah mengupas kelapa.
“Abang Fizi,mak?“
“Dia overtime hari ni. malam nanti baru dia balik. Kenapa tiba-tiba tanya ni?“
Wanda tersenyum memandang emaknya. “Mak, Wanda teringin nak makan buah mangga tu.“luah Wanda sambil memuncungkan bibirnya ke arah buah mangga yang bergantungan di pokok. Puan Naimah mengerti. Anaknya itu mengidam.
“Tunggulah Man balik kejap lagi. nanti mak suruh dia petikkan.“ujar Puan Naimah. Dia mula bangun untuk meneruskan kerjanya di dapur.
“Tak apalah. Biar Wanda ambil sendiri. Rendah aje tu.“ Wanda bangun untuk mengambil tangga.
Puan Naimah yang mendengar terus berpaling. “Jangan nak mengada! Nanti, tunggu Man. Suruh dia yang ambil.“marah Puan Naimah. Wanda duduk semula apabila dimarahi oleh ibunya. “Mak nak masuk dulu. Nak masak. Ingat, tunggu Man balik.“sekali lagi Puan Naimah mengingatkan lalu masuk ke dalam rumah.
Sedang Puan Naimah memotong sayur-sayuran, dia dikejutkan dengan suara jeritan dari luar rumah. Hampir saja dia terpotong jarinya sendiri. Segera dia berlari keluar untuk melihat.
“Astaghfirullah-al-azim....Wanda!“jerit Puan Naimah. Dia mendapatkan Wanda yang sudah terlentang di atas tanah. Banyak darah yang mengalir keluar dari celahan pehanya. Puan Naimah hanya mampu menjerit meminta bantuan.
Mereka sekeluarga amat sedih apabila diberitahu oleh doktor bahawa kandungan Wanda tidak dapat diselamatkan. Kesedihan makin bertambah apabila melihat keadaan Wanda yang tertekan dengan peristiwa tersebut. Kadang-kadang, dia akan lupa semuanya. Kadang-kadang pula, dia menangis dan menjerit-jerit meminta anaknya kembali.
‘YA ALLAH, dugaan apakah yang sedang kau beri kepada anakku, kepadaku dan kepada keluargaku. Bantulah hamba-MU ini…bantulah aku memulihkan segalanya.’doa Puan Naimah dalam hati.
“Nak anak Wanda…”sayup-sayup kedengaran suara Wanda dalam dakapan emak dan ayahnya.

_________________________________


ZAIDI


“Abang Adi, jomlah keluar jalan-jalan. Asyik duduk dalam bilik aje. Bosanlah.“ rungut Zainizah. Zaini di sebelahnya hanya mengangguk setuju dengan adiknya.
“Ala...nantilah. Abang Adi penat ni. Kalau bosan, pergi tengok tv ke.”jawab Zaidi. Dia terus bermalasan di sofa. Dia tiba-tiba teringatkan keluarganya di Malaysia. Papa,mama,Abang Ari, Anis...
Anis? Apa khabar agaknya dia hari ini. Sudah seminggu kami tak berhubung. Maklumlah, aku sibuk bercuti sambil melayan bayi tua bangka dua orang ni. Dia pula, mesti sibuk membantu uminya. Ah,rindunya abang pada Anis.
“Ni apa sengih sorang-sorang ni? Abang Adi kalau tak nak pergi, tak apa. Biar Nini dan Zai aje yang keluar. Abang duduk bilik ni diam-diam.”marah Zaini. Dia dan Zainizah mula mengatur langkah untuk keluar bersiar-siar.
Zaidi bangun dari pembaringannya. “Jangan nak mengada-ngada. Kalau apa-apa jadi siapa susah? Kan mama dah pesan, ikut cakap abang.“
“Tapi, kalau macam ni, sampai bila kami nak duduk aje dalam bilik ni? Lebih baik kami balik Malaysia.“balas Zainizah pula.
Zaidi membisu sambil merenung ke arah adik-adiknya. Timbul pula rasa kasihan. Iyalah, mereka ke sini untuk merehatkan diri dan mentenangkan fikiran. Tapi disuruhnya duduk dalam bilik saja. Zaidi bangun. “Tunggu kejap. Abang Adi nak mandi dan solat dulu.“
Dua beradik itu bersorak kegirangan mendengar abang mereka berkata begitu. Akhirnya, dapat juga memujuk Zaidi. Lepas ni, dah shopping puas-puas. Biar padan muka Abang Zaidi sebab selalu ’kurung’ kami dalam bilik ni!

3 comments:

Anor said...

tk akhirnya ada juga n3 baru setelah sekian lama
menunggu. nak lagi...

tzaraz said...

eh!.. dah leh komen ek.. hehe
hopefully Yus dah bleh trima Bad..

ZuLyaN RamSaR said...

@Anor...
bru brkesemptn utk n3 trbru...hehe

@tzaraz
dh boleh komen?? pe mksdnya ek??